Mari join..:)

Sunday, January 24, 2010

Perigi cari timba..???


Wanita kini lebih berani - Zaman cetus perubahan apabila lelaki dilamar

PERIGI cari timba atau pergi cari timba? Kedua-dua kenyataan ini mempunyai mempunyai dua konotasi berbeza jika dilihat sekali imbas, namun jika diperhalusi ia menjurus kepada pengertian wanita yang selama ini lebih bersifat tunggu dan lihat, bertindak sebaliknya dalam perihal membabitkan jodoh.

Memang hakikatnya, stigma berkurun yang sudah sekian lama wujud dalam minda masyarakat ialah budaya melamar atau meminang hanya dilakukan oleh lelaki atau wakil mereka sekiranya ingin menyunting wanita tertentu bagi dijadikan isterinya.

Bagaimanapun, zaman berubah menyaksikan wanita semakin tinggi kedudukannya dalam hirarki masyarakat terutama apabila kita memperkatakan mengenai kerjaya menyebabkan ada lelaki berasa gerun untuk masuk melamar menyebabkan wujud fenomena wanita bujang berkerjaya kukuh kerana lelaki takut untuk mendekati mereka.

Merenung lebih jauh, tiada termaktub dalam sebarang perundangan mengenai kesalahan wanita meminang lelaki untuk dijadikan suami, tetapi adat yang sudah berakar umbi dalam budaya dan kehidupan masyarakat memberi pengertian ‘janggal’ mengenai tindakan wanita mengajukan soalan kepada lelaki untuk dipinang.

Kenyataannya, arus zaman menyaksikan banyak perubahan berlaku dalam kehidupan seharian yang kita lalui. Sama ada perubahan dari aspek persamaan gender mahupun keupayaan lain, wanita boleh dikatakan mempunyai kebolehan sama seperti lelaki terutama dalam perihal kerjaya.
Sehubungan itu, kebenaran yang tidak perlu dibuktikan ialah bilangan wanita yang berdikari dan hidup bersendirian semakin bertambah. Selain memiliki kerjaya mantap dan sumber kewangan kukuh, wanita begini dikatakan menjadikan lelaki berfikir banyak kali untuk mendekati mereka.

Persoalannya, sampai bilakah lelaki akan berasa gerun atau segan untuk mendekati wanita yang mereka idamkan andai kata wanita berkenaan berkedudukan kukuh dalam kerjaya dan bijak membawa diri serta berdikari? Di pihak wanita pula sanggupkah menunggu lelaki menghantar ‘permohonan’ menyunting mereka?

Ibarat kata pepatah menunggu buah yang tidak gugur, wanita sudah tentu tidak mahu membuang masa menanti sesuatu yang belum pasti akan menjadi miliknya, justeru tindakan terbaik yang boleh dilakukan wanita ialah bertanyakan kepada lelaki akan apakah kesudahannya perhubungan mereka.

Pensyarah psikologi, Jabatan Psikologi dan Kaunseling Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mariani Md Nor, menyifatkan keadaan ‘perigi mencari timba’ bukanlah sesuatu yang pelik dalam kehidupan dunia sekarang lebih-lebih lagi statistik menunjukkan wanita lebih ramai daripada lelaki.
“Masyarakat kita kaya adat dan kalau sudah namanya adat, ia dijunjung dalam budaya. Bagaimanapun, saya berpendapat kita hidup dalam dunia realiti, ada perasaan dan keinginan untuk berumahtangga jadi perlu untuk wanita melakukan tindakan positif memulakan langkah ke arah itu.

“Begitupun, kepada wanita yang berani untuk melakukannya, mereka mesti bersedia mental kerana tindakan mereka itu ibarat menyongsang arus. Sedikit sebanyak, tindakan berkenaan akan jadi bahan perbualan masyarakat kerana sudah menjadi kelaziman, berbuat benda baik pun akan diperkatakan, apatah lagi hal yang jarang dilakukan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau berkata, kadangkala budaya yang berakar umbi dalam masyarakat terlalu kukuh untuk dilanggar menyebabkan masyarakat kekal menjunjung adat yang sewajarnya perlu diselaras dengan keadaan sekarang dengan membiarkan wanita menyandang status anak dara tua atau anak dara lanjut usia.

“Ada dua situasi yang mencetus kepada senario perigi mencari timba ini. Pertama ialah lelaki mempunyai status sosial yang lebih rendah daripada wanita walaupun hati mengatakan ada keinginan untuk melamar menyebabkan wanita terpaksa memulakan langkah itu.

“Kedua ialah memang wanita berkenaan tidak kisah mengenai apa yang akan diperkatakan kerana mereka sendiri mahu melakukannya. Kadangkala perlu juga mempunyai wanita sebegini dalam masyarakat kerana jika mereka berjaya, mereka akan dijadikan contoh serta terus diperkatakan untuk beberapa lama,” katanya.

Sehubungan itu, tidak menjadi keanehan sekiranya ‘perigi mencari timba’ diamalkan dalam kehidupan hari ini kerana zaman sudah banyak berubah dan masyarakat perlu menerima kenyataan sesuatu perlu dilakukan bagi menghindari perkara tidak baik berlaku.

“Kebaikan daripada perkahwinan itu sudah pasti satu daripadanya ialah dapat menghindari individu melakukan dosa dan mengelak pandangan buruk orang ramai. Berbalik kepada situasi wanita yang ingin meminang lelaki, tujuan asalnya adalah untuk berkahwin dan amalan ini adalah mulia. Cuma janganlah kita lupa mengenai nilai lazim dalam masyarakat, lakukan dengan penuh tertib dan mengikut langkah,” katanya.

Tidak salah wanita memulakan langkah

Bagi penuntut sarjana, Aina Mardhiah Nordin, 26, pepatah berkenaan boleh diguna pakai namun dalam situasi tertentu, ia tidak boleh diamalkan lagi kerana ia meletakkan lelaki mahupun wanita dalam dilema.

“Saya tidak menolak peribahasa lama mengenai perigi mencari timba, tapi dalam keadaan sekarang, saya berasa wajar untuk kita mempraktikkan peribahasa itu. Tidak ada sebarang kesilapan kalau kita melakukannya.

“Tambahan pula, dalam persekitaran maju kini, wanita dikatakan mempunyai tahap pendidikan dan pekerjaan yang sama dengan lelaki bahkan dalam beberapa aspek, wanita mengatasi lelaki menyebabkan mungkin timbul rasa segan lelaki terhadap wanita,” katanya ketika ditemui di Balai Berita, baru-baru ini.

Aina mengakui wanita tidak perlu malu untuk bertanya kepada lelaki mengenai niat baik untuk berumahtangga kerana perkara berkenaan adalah satu hal yang bukannya mendatangkan keburukan.

“Sebagai wanita, saya fikir kita tidak perlu berasa aneh untuk membuka bicara soal hati ini kerana zaman sudah berubah. Justeru, takkan wanita ingin biarkan saja diri membujang sehingga ke tua kerana agama juga menyarankan kita berikhtiar untuk mendapatkan jodoh bagi memiliki zuriat atau waris kita,” katanya.

Tidak dinafikan status wanita yang semakin meninggi menyebabkan wujud fenomena lelaki gerun untuk masuk meminang, seterusnya menyumbang kepada kewujudan pertambahan wanita dan lelaki bujang dalam masyarakat.

Perkara ini tidaklah membimbangkan, tetapi wajar ditangani dengan bijak kerana dengan adanya pasangan, hidup mungkin menjadi lebih bermakna dan seimbang. Kehadiran zuriat juga dikatakan menceriakan rumah tangga.

“Jika diperhatikan, di pusat pengajian tinggi juga memperlihatkan bilangan penuntut wanita mengatasi penuntut lelaki. Begitu juga di institusi pekerjaan, ada ketua wanita yang mengendalikan syarikat. Bila wanita mencapai kedudukan lebih tinggi daripada lelaki, seakan wujud jurang pemisah bagi lelaki untuk mendekati wanita. Mungkin juga lelaki menghormati wanita menyebabkan mereka malu mengajukan soalan mengenai membina kehidupan bersama wanita yang mereka pilih.

“Selain itu, saya tidak menolak keadaan ‘perigi mencari timba’ kerana bukan mudah untuk mencari lelaki yang memenuhi ciri idaman wanita. Jadi, apabila sudah bertemu lelaki idaman, jangan buang masa menunggu lelaki menyuarakan isi hati mereka. Biar kita yang mulakan dulu jika sudah yakin dengan lelaki yang kita dampingi kini,” katanya.

Beliau berkata, daripada terlepas ke tangan orang lain, lebih baik sekiranya wanita yang memulakan langkah untuk memberi kata isyarat kepada lelaki mengenai hajat yang terpendam di dalam hati.

“Pokok pangkalnya, keikhlasan perlu ada dalam perhubungan dan wanita sendiri perlu mengambil tindakan berani meminang lelaki kalau sudah yakin dan tetap hati dengan pilihan yang dibuat.

“Sementara bagi lelaki pula jangan berasa besar hati atau bangga diri sekiranya ada wanita bertindak meminang mereka sebalik hormatilah wanita yang berani bertindak begini kerana tidak mudah bagi wanita menongkah arus walaupun perbuatan mereka tidak salah, apatah lagi berdosa,” katanya.

Wajar juga diingat wanita yang melakukan tindakan ‘perigi mencari timba’ ini adalah wanita berperibadi mulia kerana berfikiran jauh untuk tidak melakukan dosa sebaliknya mengikut prosedur fitrah budaya berteras agama kerana berusaha mencari jodoh dengan cara yang cukup beradat dan penuh susila.

Mungkin juga sudah tiba masanya masyarakat memikirkan alternatif baru daripada ‘perigi mencari timba’ kepada ‘pergi cari timba’ kerana jodoh wajar dicari dan ia tidak datang sendiri tanpa sebab dan musabab yang munasabah.

p/s:beranikah anda wahai wanita2??

dicopy and paste dari: http://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment